APABILA berat badan bertambah, boleh dikatakan semua orang risau, tetapi tidak ramai mengambil langkah proaktif untuk mengelakkannya daripada terus bertambah. Rasa panik biasanya terbit apabila baju atau seluar sedia ada menjadi ketat atau tidak boleh dipakai lagi. Soal berat badan berlebihan adalah isu global yang dihadapi hampir setiap orang. Apabila tiba ke tahap itu, ramai mencuba pelbagai produk untuk kembali ke bentuk badan asal, tetapi ini bukan langkah terbaik kerana lemak terkumpul tidak dapat dipecahkan melalui penggunaan ubat sapu atau minum jus tertentu.
Tabiat makan juga mempunyai pengaruh besar terhadap pertambahan berat badan. Ada orang mendakwa hanya makan nasi sekali sehari, tetapi berat badannya tetap bertambah. Ada pula yang makan tiga hingga empat kali sehari, tetapi kekal langsing.
Banyak faktor menyumbang pertambahan berat badan, tetapi yang utama ialah pilihan jenis makanan dan kekerapan melakukan senaman. Kedua-duanya ada kaitan rapat.
Katanya, jika tidak bersenam dan kurang bergerak, baki tenaga yang diperoleh daripada makanan akan disimpan sebagai lemak di bawah kulit. Proses ini lama kelamaan menyebabkan berat badan bertambah. Namun, ada lagi faktor yang boleh merangsang pertambahan berat badan, iaitu kurang tidur dan terlalu lama dalam persekitaran berhawa dingin. Tidak cukup di pejabat, ada yang memasang alat pendingin hawa di rumah. Malah, tekanan di tempat kerja atau masalah peribadi sering membuat ramai tidak mendapat cukup tidur.
Berdasarkan laporan penyelidik dari Universiti Alabama, Birmingham, Dr David B Allison dalam Jurnal Obesiti Antarabangsa Jun lalu, kajian ke atas haiwan dan manusia di Amerika Syarikat mendapati kurang tidur meningkatkan selera seseorang dan merangsang dia untuk makan banyak. Malah, ada pakar pengurusan badan menyarankan individu yang mahu mengurangkan berat badan supaya mendapat cukup tidur iaitu antara tujuh hingga lapan jam sehari.
Satu kajian lain menunjukkan, individu yang tidur kurang daripada empat jam sehari mempunyai risiko 73 peratus untuk mengalami obesiti dan 50 peratus bagi mereka yang tidur hanya lima jam sehari. Apabila kurang tidur, badan kurang menghasilkan hormon leptin, iaitu sejenis protein darah yang bertanggungjawab mengawal selera dan rasa lapar. Paras leptin yang rendah ini menghantar isyarat ke otak, memberitahu badan kekurangan makanan dan seseorang individu itu perlu makan lebih banyak, walaupun dia sebenarnya kenyang. Jika masalah kekurangan tidur ini berlarutan, penghasilan leptin juga semakin berkurang dan keinginan untuk makan bertambah tinggi. Malah, kekurangan tidur juga meningkatkan paras ‘grehlin’ iaitu sejenis bahan yang meningkatkan keinginan untuk makan.
Masalah ini kerap berlaku pada musim cuti atau perayaan kerana ketika ini kebanyakan orang tidur lewat. Apabila lewat tidur, masa yang ada biasanya diisi dengan aktiviti membabitkan makanan.
Terlalu lama dalam perkitaran berhawa dingin juga boleh merangsang selera seseorang. Dalam keadaan sejuk, badan terpaksa membakar lebih banyak kalori untuk mengadaptasi dengan persekitaran dan ini sebabnya kita cepat berasa lapar dalam suasana sejuk.
Sebaliknya, keinginan untuk makan menurun dalam cuaca lebih panas dan lembap.
Selain itu, pengambilan ubat-ubatan seperti anti kemurungan boleh meningkatkan selera makan. Malah, ramai merungut berat badan mereka bertambah selepas berhenti merokok. Nikotin dalam asap rokok sebenarnya mengurangkan selera makan. Apabila bekalan nikotin terhenti, baru perokok dapat menikmati keenakan sebenar makanan.
Bagaimanapun, ini hanya kesan sampingan sementara yang boleh dikawal dan ia biasanya berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan pertama saja. Pakar Tidur dan Pengurusan Berat Badan Universiti Arizona, Dr Philip Eiching, berkata antara kaedah yang digunakannya untuk membantu individu mengurangkan berat badan ialah menyuruh mereka mendapat cukup tidur iaitu antara enam hingga tujuh jam sehari. Kurang tidur dan masalah obesiti sebenarnya saling berkaitan. Ini kerana orang yang obes biasanya mengalami masalah tidur berdengkur dan apnea (nafas terhenti sementara ketika tidur).
Dengkur dan apnea boleh menjejaskan kualiti tidur kerana seseorang itu akan terjaga setiap kali nafasnya terhenti.
Antara cara lain yang boleh diamalkan untuk mengawal pertambahan berat badan ialah:
# Tidur malam mencukupi — Antara tujuh hingga sembilan jam (bagaimana pun tempoh ini berbeza mengikut keperluan setiap individu).
# Awasi berapa banyak makanan yang anda makan. Ini penting, terutama ketika majlis makan dan makanan dihidang secara bufet. Biasanya ketika ini kita terdorong untuk ambil makanan sepenuh pinggan. Ambil makanan yang benar-benar menarik perhatian kita saja.
# Bijak memilih makanan. Seboleh-bolehnya elakkan makanan segera, banyak karbohidrat dan lemak. Makan lebih banyak ikan, buah dan sayur.
# Bersenam. Jadikan ia sebagai rutin harian, walaupun ketika musim cuti. Bersenam akan membakar lebihan kalori yang masuk ke dalam badan. Berjalan selama 30 minit sehari dapat mengekalkan berat badan, tetapi jika ingin mengurangkan angka yang ada, panjangkan masa berjalan sehingga 60 minit sehari. Bersenam juga membuatkan anda tidur lebih lena.
# Elak minuman mengandungi kafein seperti kopi, teh, coklat, kola dan minuman keras. Semua minuman ini membuatkan anda susah hendak tidur.
# Jangan tidur selepas makan. Beri badan mencerna makanan sekurang-kurangnya tiga jam sebelum masuk tidur.
huh,, ptot pn brat iqa smakin btmbah, rpanya kurang tdo..huk3...nk wat cmna, mta nih lgsung xngantok....
pusingkepalaeden;
IqA ShAfIqA
No comments:
Post a Comment